ENGLAND-ARGENTINA: 90 MINIT YANG BUKAN SEKADAR BOLA SEPAK

Argentina menewaskan England 2-1 dalam separuh akhir Piala Dunia 2026. England mendahului menerusi Anthony Gordon, sebelum Enzo Fernández menyamakan kedudukan pada minit ke-85 dan Lautaro Martínez menjaringkan gol kemenangan dalam masa kecederaan. Lionel Messi tidak mencetak nama sebagai penjaring, tetapi terlibat dalam gerakan kedua-dua gol Argentina.

Dari sudut permainan, England mungkin akan menyesal kerana terlalu awal mahu menjaga kelebihan. Selepas mendahului, mereka mula turun lebih dalam dan memberikan Argentina ruang untuk menguasai bola. Argentina pula tidak panik. Mereka terus menekan sehingga pertahanan England akhirnya pecah. Mudahnya, England bermain untuk mempertahankan satu gol, sedangkan Argentina terus bermain untuk mencari dua.

Namun, pertemuan England dengan Argentina tidak pernah selesai melalui analisis taktikal semata-mata. Setiap kali kedua-duanya bertemu di Piala Dunia, nama-nama lama akan dibawa masuk bersama: Antonio Rattín, Diego Maradona, David Beckham dan sebuah kepulauan kecil di selatan Lautan Atlantik yang dikenali Britain sebagai Falklands, tetapi disebut Argentina sebagai Malvinas.

Kedua-dua negara pertama kali bertemu di Piala Dunia 1962. England menang 3-1. Empat tahun kemudian, mereka bertemu dalam suku akhir Piala Dunia 1966 di Wembley. England menang 1-0 dalam perlawanan yang menjadi panas selepas kapten Argentina, Antonio Rattín, dibuang padang. Pengadil dan Rattín tidak berkongsi bahasa yang sama, lalu kekeliruan itu menjadi sebahagian daripada cerita. Bagi England, kemenangan itu membawa mereka lebih dekat kepada kejuaraan dunia. Bagi Argentina, ia dikenang sebagai penghinaan dan ketidakadilan.

Tetapi hubungan ini berubah menjadi sesuatu yang lebih besar selepas tahun 1982.

Pada 2 April 1982, tentera Argentina mendarat dan mengambil alih Kepulauan Falkland. Argentina sudah lama menuntut wilayah tersebut sebagai Malvinas, manakala Britain mengekalkan pentadbiran dan kedaulatannya di sana. Kerajaan Margaret Thatcher kemudian menghantar pasukan tentera menyeberangi Atlantik Selatan. Selepas perang selama kira-kira sepuluh minggu, Argentina menyerah kalah dan Britain mengambil semula kepulauan itu.

Perang tersebut mengorbankan 649 anggota Argentina, 255 anggota tentera Britain dan tiga penduduk pulau. Angka itu mungkin kecil jika dibandingkan dengan peperangan besar dunia, tetapi kesannya sangat dalam kepada masyarakat Argentina. Ramai anggota tentera Argentina yang dihantar ke sana ialah anak muda yang menjalani perkhidmatan wajib, kurang bersedia dan dipimpin oleh sebuah pemerintahan tentera yang sedang kehilangan sokongan rakyat.

Perang tamat pada Jun 1982. Empat tahun kemudian, Argentina bertemu England dalam suku akhir Piala Dunia di Mexico.

Di situlah Diego Maradona masuk ke dalam sejarah. Gol pertamanya dilakukan dengan tangan, tetapi terlepas daripada pandangan pengadil. Maradona kemudian menamakannya sebagai “Tangan Tuhan”. Beberapa minit selepas itu, beliau membawa bola dari kawasan sendiri, melepasi beberapa pemain England dan menjaringkan satu daripada gol terbaik yang pernah disaksikan dalam Piala Dunia.

Satu gol menggunakan helah. Satu lagi menggunakan kejeniusan. Kedua-duanya datang daripada manusia yang sama.

Argentina menang 2-1 dan akhirnya menjadi juara dunia. Maradona kemudiannya mengakui bahawa walaupun para pemain mengatakan bola sepak tidak mempunyai kaitan dengan perang, kemenangan tersebut tetap terasa seperti satu pembalasan. Dalam ingatannya, anak-anak muda Argentina telah mati dalam perang itu, maka menewaskan England bukan lagi sekadar mengalahkan sebuah pasukan bola sepak (Maradona, 2000).

Tentulah kemenangan di padang tidak dapat membalas kematian manusia. Sebiji bola tidak boleh mengubah sempadan atau mengembalikan tentera yang terbunuh. Namun, kekalahan dalam perang meninggalkan rasa malu yang sukar diterangkan melalui angka. Argentina pada 1986 sedang mencari sesuatu untuk memulihkan harga dirinya. Maradona memberikannya melalui dua gol.

Pertemuan seterusnya juga tidak pernah sunyi. Dalam Piala Dunia 1998, David Beckham dibuang padang selepas bertindak balas terhadap Diego Simeone. England bertahan sehingga penentuan penalti sebelum tersingkir. Beckham pulang sebagai sasaran kemarahan rakyatnya sendiri. Pada 2002, beliau menjaringkan penalti kemenangan ketika England menewaskan Argentina 1-0. Media England menyebutnya sebagai penebusan, seolah-olah satu sepakan penalti mampu menutup luka empat tahun sebelumnya.

Kemudian kedua-duanya tidak bertemu dalam Piala Dunia selama 24 tahun. Apabila ditemukan kembali pada 2026, generasi pemainnya sudah berubah. Maradona telah meninggal dunia. Beckham sudah lama bersara. Ramai pemain hari ini belum lahir ketika perang Falklands berlaku.

Namun, sejarah tidak hilang hanya kerana pelakunya sudah tiada.

Selepas Argentina menewaskan England di Atlanta, Lisandro Martínez dan Giovani Lo Celso mengangkat kain rentang bertulis “Las Malvinas Son Argentinas” bermaksud "Malvinas ialah milik Argentina". Tindakan itu berisiko melanggar peraturan FIFA yang melarang mesej politik dalam stadium. Tetapi kain rentang tersebut menunjukkan bahawa kepada sebahagian rakyat Argentina, Falklands bukan sejarah yang sudah ditutup. Ia masih menjadi persoalan tentang wilayah, maruah dan identiti negara.

FIFA boleh melarang sepanduk politik. Tetapi FIFA tidak boleh memeriksa ingatan yang dibawa oleh setiap penyokong ketika memasuki stadium.

Benedict Anderson menjelaskan bangsa sebagai sebuah imagined community atau komuniti yang dibayangkan. Jutaan manusia dalam sesebuah negara tidak pernah mengenali satu sama lain, tetapi mereka merasakan diri berada dalam cerita, sejarah dan nasib yang sama (Anderson, 1983). Bola sepak memberikan bentuk yang jelas kepada bayangan tersebut. Bendera dikibarkan, lagu kebangsaan dimainkan dan sebelas pemain membawa nama seluruh negara.

Sebab itu kekalahan dalam bola boleh terasa seperti penghinaan nasional. Kemenangan pula boleh dianggap menebus sesuatu yang jauh lebih besar daripada permainan.

Dalam kes Argentina dan England, persaingan itu juga mengandungi ironi sejarah. Bola sepak moden dibawa dan dikembangkan di Argentina melalui pengaruh masyarakat British pada abad ke-19. Namun, Argentina kemudian membentuk permainannya sendiri iaitu lebih teknikal, licik, emosional dan penuh watak. Sesuatu yang pernah dibawa oleh British akhirnya digunakan untuk menewaskan mereka.

Hubungan ini tidak bermaksud setiap pemain Argentina membenci England atau setiap penyokong England memikirkan Falklands ketika menonton bola. Rivaliti sukan juga sering dibesar-besarkan oleh media untuk menghasilkan cerita yang lebih menarik. Dua negara boleh mempunyai hubungan diplomatik, perdagangan dan kehidupan masyarakat yang jauh lebih rumit daripada apa yang berlaku di stadium.

Namun, bola sepak mempunyai kebolehan untuk memadatkan sejarah. Perang, penjajahan, nasionalisme dan maruah boleh dihimpunkan dalam tempoh 90 minit. Sebab itu jurulatih boleh berkata bahawa ia cuma satu perlawanan, tetapi penyokong tetap membawa cerita yang jauh lebih panjang.

Argentina menang pada 2026 kerana England gagal menguruskan penghujung permainan. Itu penjelasan bolanya.

Namun, apabila kain rentang Malvinas dibuka selepas wisel penamat, kemenangan itu terus memasuki sebuah sejarah lain. Ia disambungkan kepada 1982, kepada Maradona pada 1986 dan kepada perasaan sebuah bangsa yang masih menganggap ada sesuatu miliknya belum dikembalikan.

Perang Falklands sudah lama tamat. Keputusan politiknya juga tidak berubah selepas gol Lautaro Martínez.

Tetapi antara Argentina dengan England, perang mungkin sudah tamat. Perlawanan nampaknya belum.

Bacaan asas: Anderson, B. (1983), Imagined Communities; Archetti, E. P. (1999), Masculinities: Football, Polo and the Tango in Argentina; Maradona, D. (2000), Yo Soy el Diego; Wilson, J. (2016), Angels with Dirty Faces: The Footballing History of Argentina; Freedman, L. (2005), The Official History of the Falklands Campaign.

 

Ulasan