UTHMANIYAH: KHALIFAH ATAU EMPAYAR?
Pertanyaan
ini tidak bertujuan mengecilkan sejarah Uthmaniyah. Sebaliknya, ia diperlukan
supaya tamadun tersebut tidak dibaca melalui dua keadaan yang terlalu mudah.
Satu pihak melihat Uthmaniyah sebagai zaman keemasan yang hampir tidak memiliki
kecacatan. Pihak lain pula melihatnya sebagai kerajaan Turki yang keras, mundur
dan menjadi penghalang kepada kemajuan Eropah. Kedua-dua pandangan ini gagal
memahami bahawa sesebuah tamadun tidak dibina hanya oleh kesucian atau
kejahatan. Ia dibina melalui kekuasaan, ilmu, peperangan, perdagangan, agama
dan kemampuan mengurus perbezaan manusia.
Dalam
pengajian tamadun Islam, Marshall Hodgson membezakan antara perkara yang
benar-benar bersifat “Islamik” dengan lingkungan budaya yang berkembang di
bawah masyarakat Islam, yang disebutnya sebagai Islamicate. Agama
merupakan teras, tetapi tamadun yang terbentuk di sekelilingnya turut
dihasilkan oleh bangsa, bahasa, adat dan tradisi bukan Islam. Melalui kerangka
ini, Uthmaniyah tidak boleh difahami hanya sebagai negara agama. Ia ialah
sebuah tamadun Islamik yang turut menyerap warisan Turki, Parsi, Arab,
Byzantine dan masyarakat Balkan ke dalam satu susunan politik yang luas
(Hodgson, 1974).
Uthmaniyah
bermula sebagai sebuah kerajaan kecil di Anatolia sekitar penghujung abad
ke-13. Kedudukannya di kawasan sempadan Byzantine membolehkan kerajaan tersebut
berkembang melalui peperangan, persekutuan, perkahwinan dan penggabungan
kelompok-kelompok tempatan. Penaklukan Konstantinopel oleh Mehmed II pada tahun
1453 kemudiannya mengubah kedudukan Uthmaniyah daripada kerajaan perbatasan
kepada sebuah empayar yang mempunyai cita-cita sejagat. Sultan bukan lagi
sekadar ketua kelompok Turki, tetapi mula membawa pelbagai gelaran yang
menghubungkannya dengan tradisi Islam, Parsi, Rom dan Turko-Mongol (İnalcık,
1973; Kafadar, 1995).
Namun,
menyebut Uthmaniyah sebagai empayar tidak bermaksud menafikan watak Islamnya.
Islam memberikan bahasa moral dan politik kepada kerajaan tersebut. Sultan
dianggap bertanggungjawab menjaga agama, menegakkan keadilan, melindungi
wilayah Islam dan memastikan kehidupan masyarakat berada dalam suatu
ketertiban. Dalam masa yang sama, pentadbirannya tidak bergantung kepada hukum
syariah semata-mata. Uthmaniyah menggabungkan syariah dengan kanun,
iaitu undang-undang yang dibentuk oleh sultan bagi memenuhi keperluan
pentadbiran, cukai, tanah dan keselamatan. Karen Barkey menyifatkan Uthmaniyah
bukan sebagai teokrasi kerana ulama dan syariah tidak berdiri sebagai
pemerintah tunggal negara; hubungan agama dan kekuasaan sentiasa dirunding
mengikut perubahan zaman (Barkey, 2010).
Persoalan
khalifah pula lebih rumit. Cerita yang sering diulang ialah Sultan Selim I
menerima gelaran khalifah daripada pemerintah Abbasiyah terakhir selepas
menakluki Mesir pada tahun 1517. Menurut cerita tersebut, kuasa khalifah
dipindahkan secara rasmi kepada sultan Uthmaniyah dalam sebuah upacara di
Istanbul. Masalahnya, ahli sejarah tidak menemui bukti sezaman yang kukuh
tentang upacara itu. Kisah pemindahan tersebut muncul jauh lebih lewat dan
besar kemungkinan diperkukuh untuk mengesahkan tuntutan politik Uthmaniyah
(Deringil, 1991; Yılmaz, 2018).
Ini
tidak bermaksud sultan Uthmaniyah langsung tidak menggunakan gelaran khalifah
sebelum atau selepas tahun 1517. Bahasa kekhalifahan telah hadir dalam
pemikiran politik Uthmaniyah sebelum penaklukan Mesir. Namun, makna khalifah
ketika itu tidak semestinya sama dengan gambaran seorang pemimpin tunggal yang
diterima oleh seluruh umat Islam. Banyak pemerintah Muslim selepas kejatuhan
Baghdad pada tahun 1258 menggunakan bahasa khalifah atau wakil Tuhan bagi
mengukuhkan kedudukan masing-masing. Hüseyin Yılmaz menunjukkan bahawa pemikir
Uthmaniyah membentuk semula konsep khalifah melalui gabungan fikah, tasawuf dan
gagasan raja yang sempurna. Khalifah tidak lagi semata-mata ditentukan oleh
keturunan Quraisy, tetapi melalui kemampuan memelihara agama, menegakkan
keadilan dan mengurus masyarakat (Yılmaz, 2018).
Pemikiran
Ibn Khaldun membantu menjelaskan keadaan ini. Dalam al-Muqaddimah,
beliau membezakan antara khilafah dengan mulk. Khilafah ialah
pemerintahan yang membawa manusia menurut tuntutan agama bagi kepentingan dunia
dan akhirat. Mulk pula ialah kekuasaan kerajaan yang bertahan melalui
kekuatan kelompok, pentadbiran dan keupayaan mengawal masyarakat. Namun, dalam
perjalanan sejarah, kedua-duanya sering bercampur. Pemerintah boleh membawa
gelaran agama, tetapi negara masih perlu berfungsi melalui tentera, cukai,
birokrasi dan persaingan kuasa (Ibn Khaldun, 1377/2005).
Melalui
kerangka tersebut, Uthmaniyah lebih tepat dilihat sebagai mulk yang
memperoleh keabsahan melalui Islam. Ia mempunyai cita-cita khalifah, tetapi
beroperasi sebagai empayar. Sultan boleh menjadi pelindung dua kota suci, dalam
masa yang sama berperang dengan kerajaan Islam lain seperti Safawiyah dan
Mamluk. Ia boleh membina masjid, madrasah dan wakaf, tetapi pada masa yang sama
mengenakan cukai, memindahkan penduduk secara paksa dan menghukum pemberontakan
dengan keras. Hal ini bukan sesuatu yang ganjil dalam sejarah. Negara sentiasa
membawa nilai yang tinggi, tetapi tetap bergerak melalui kepentingan kekuasaan.
Pada
zaman Sultan Süleyman, gabungan antara agama, undang-undang dan empayar
mencapai bentuknya yang paling kukuh. Di dunia Eropah beliau dikenali sebagai Suleiman
the Magnificent, tetapi dalam tradisi Uthmaniyah beliau dikenali sebagai Kanuni,
iaitu penyusun undang-undang. Pemerintahannya tidak hanya diperkuat melalui
penaklukan, tetapi melalui usaha menyelaraskan pentadbiran kerajaan dengan
hukum dan gambaran keadilan. Halil İnalcık melihat kekuatan Uthmaniyah klasik
terletak pada kemampuannya membentuk institusi yang menghubungkan istana,
tentera, ulama dan wilayah taklukan dalam satu sistem yang teratur (İnalcık,
1973).
Namun,
ketertiban Uthmaniyah tidak harus diromantikkan sebagai kesamarataan moden.
Masyarakat bukan Islam diberikan perlindungan, ruang ibadat dan sebahagian
autonomi komuniti, tetapi mereka tetap berada dalam susunan yang tidak setara.
Toleransi empayar bukanlah toleransi liberal seperti yang difahami hari ini. Ia
lebih bersifat praktikal: perbezaan diterima selagi tidak menggugat ketertiban
dan kesetiaan kepada negara. Uthmaniyah boleh menjadi terbuka pada suatu
ketika, tetapi keras pada ketika yang lain. Empayar memang begitu; tangannya
boleh membina masjid dan jambatan, tetapi tangan yang sama juga memegang
pedang.
Menjelang
abad ke-19, gelaran khalifah memperoleh kepentingan politik yang lebih besar.
Ketika wilayah empayar semakin mengecil dan kuasa Eropah semakin mencengkam,
kerajaan Uthmaniyah menggunakan kedudukan sultan sebagai khalifah untuk membina
hubungan dengan umat Islam di luar wilayahnya. Pada zaman Sultan Abdulhamid II,
bahasa kesatuan umat menjadi sebahagian daripada usaha mempertahankan negara
dan melawan tekanan imperialisme. Selim Deringil menghuraikan bahawa simbol
agama, pendidikan, upacara dan gambaran sultan sebagai pelindung Islam
digunakan bagi memperbaharui keabsahan empayar (Deringil, 1998). Cemil Aydin
pula menunjukkan bahawa gagasan “dunia Islam” sebagai satu kesatuan politik
global berkembang dengan lebih kuat dalam suasana imperialisme abad ke-19,
bukannya wujud dalam bentuk yang sama sejak awal Islam (Aydin, 2017).
Maka,
adakah Uthmaniyah sebuah khalifah atau empayar? Jawapannya ialah kedua-duanya,
tetapi bukan dalam kadar dan bentuk yang sama sepanjang sejarahnya. Uthmaniyah
pada asasnya ialah sebuah empayar dinasti. Ia menakluk wilayah, mengurus bangsa
yang pelbagai, membina birokrasi dan mempertahankan kuasa keluarga Osman. Dalam
masa yang sama, ia ialah empayar Islam yang menjadikan syariah, ulama, kota
suci dan gelaran khalifah sebagai unsur penting dalam pembentukan identitinya.
Kesilapan
kita ialah apabila khalifah dan empayar dianggap dua perkara yang mesti
dipisahkan. Dalam sejarah Uthmaniyah, kedua-duanya saling melengkapi dan
kadang-kadang saling bertentangan. Khalifah memberikan tujuan moral kepada
kekuasaan. Empayar pula menyediakan tentera, cukai dan institusi untuk
memastikan tujuan itu dapat bertahan. Persoalan yang lebih penting bukan sama
ada Uthmaniyah layak dipanggil khalifah, tetapi sejauh mana kuasanya
benar-benar tunduk kepada keadilan yang menjadi asas kepada gelaran tersebut.
Uthmaniyah
bukan syurga politik yang hilang. Ia juga bukan sekadar empayar ganas yang
harus dilupakan. Ia adalah pengalaman besar tamadun Islam dalam usaha
menghubungkan agama dengan kekuasaan, umat dengan wilayah dan cita-cita moral
dengan keperluan pemerintahan.
Khalifah
ialah nama yang membawa amanah. Empayar ialah tubuh yang membawa kekuasaan.
Dalam Uthmaniyah, kedua-duanya hidup dalam satu badan dan seperti manusia,
badan itu juga memiliki kebijaksanaan, kekuatan serta kelemahannya sendiri.
Bacaan
asas: Ibn
Khaldun (1377/2005), The Muqaddimah: An Introduction to History;
Marshall G. S. Hodgson (1974), The Venture of Islam; Halil İnalcık
(1973), The Ottoman Empire: The Classical Age 1300–1600; Cemal Kafadar
(1995), Between Two Worlds: The Construction of the Ottoman State; Selim
Deringil (1998), The Well-Protected Domains; Ira M. Lapidus (2014), A
History of Islamic Societies; Cemil Aydin (2017), The Idea of the Muslim
World; Hüseyin Yılmaz (2018), Caliphate Redefined: The Mystical Turn in
Ottoman Political Thought.
.jpg)
.jpg)
Ulasan
Catat Ulasan