DAP DAN MASALAH MENJADI KERAJAAN

Sesebuah parti politik tidak pernah benar-benar diuji ketika berada di luar kekuasaan. Menjadi pembangkang memberikan ruang yang luas untuk mengkritik, menuntut perubahan dan menawarkan gambaran tentang negara yang lebih baik. Setiap kelemahan kerajaan boleh dihuraikan dengan jelas kerana tanggungjawab untuk menyelesaikannya masih berada pada pihak lain. Namun, apabila parti itu menjadi kerajaan, segala persoalan yang pernah diajukan akhirnya kembali kepadanya.

Inilah keadaan yang sedang dihadapi oleh DAP. Parti itu membina kekuatan politiknya melalui perjuangan menentang rasuah, penyalahgunaan kuasa, kelemahan institusi dan ketidakadilan dalam pentadbiran. Untuk tempoh yang panjang, DAP dilihat sebagai parti yang berani mengemukakan persoalan yang sukar. Namun, kedudukannya pada hari ini sudah berubah. DAP bukan lagi sekadar pemerhati kerajaan, tetapi merupakan sebahagian penting daripada kerajaan itu sendiri.

Perubahan tersebut menuntut kematangan yang berbeza. Max Weber membezakan antara etika keyakinan dengan etika tanggungjawab. Keyakinan membolehkan seseorang berpegang kepada prinsip, manakala tanggungjawab menuntutnya memikirkan kesan daripada setiap tindakan. Dalam politik, kedua-duanya perlu bergerak bersama. Prinsip tanpa tanggungjawab boleh menjadi idealisme yang tidak menghasilkan perubahan. Tanggungjawab tanpa prinsip pula mudah berubah menjadi alasan untuk terus berada dalam kekuasaan.

Masalah DAP bukanlah kerana parti itu melakukan kompromi. Politik gabungan sememangnya memerlukan rundingan. Namun, apabila terlalu banyak perkara diterangkan atas nama kestabilan, kesepakatan kabinet dan keperluan menjaga kerajaan, masyarakat mula tertanya-tanya tentang batas kompromi tersebut. Dahulu, DAP mempunyai jawapan terhadap hampir setiap kelemahan kerajaan. Sekarang, DAP mempunyai menteri, tetapi dalam beberapa isu, jawapannya masih berbentuk desakan dan kenyataan media.

Insiden melibatkan Nga Kor Ming dengan wartawan Utusan Malaysia memperlihatkan masalah ini. Ketika ditanya berhubung penggunaan nama bahasa Inggeris bagi sebuah program kementerian, Nga memberi reaksi yang dianggap keras dan menyatakan bahawa beliau boleh menghubungi pihak pengurusan akhbar tersebut. Kritikan kemudian timbul kerana tindakan itu dilihat tidak selari dengan perjuangan kebebasan media yang selama ini dibawa oleh DAP.

Persoalannya bukan sama ada wartawan tersebut mengemukakan soalan yang baik atau sebaliknya. Seorang menteri tetap mempunyai ruang untuk menjawab dan membetulkan sesuatu tanggapan. Namun, apabila kuasa menteri dibawa masuk ke dalam jawapan, hubungan antara kerajaan dengan media berubah. Kebebasan media bukan hanya bermaksud kebebasan bertanya perkara yang menyenangkan kerajaan. 

Barangkali inilah sifat kekuasaan. Ketika berada di luar kerajaan, soalan wartawan dianggap sebagai hak masyarakat. Setelah berada di dalamnya, soalan yang sama boleh kelihatan seperti gangguan terhadap kerja kementerian.

Pertembungan terbaru antara DAPSY Kota Melaka dengan ADUN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, memperlihatkan kelemahan yang lebih hampir dengan politik di lapangan. DAPSY membangkitkan isu banjir di Duyong dan mempersoalkan tindakan Helmy. Secara prinsip, tidak ada masalah untuk mana-mana parti menegur seorang wakil rakyat. Banjir ialah masalah rakyat dan tidak harus dilindungi oleh sentimen kepartian.

Namun, politik bukan sekadar tentang keberanian menyerang. Politik turut memerlukan kebijaksanaan memilih sasaran.

Helmy bukanlah ADUN yang hanya dikenali melalui papan tanda pusat khidmat. Beliau membina imej sebagai “YB buat kerja”, rapat dengan penduduk dan mudah ditemukan di lapangan. Ketika banjir melanda Duyong pada Mac 2025, penduduk sendiri memberikan penghargaan terhadap tindakannya memantau kawasan terjejas dan menguruskan bantuan kepada mangsa. Beliau juga sering menonjolkan penyelesaian aduan masyarakat sebagai teras kepada pendekatan politiknya.

Pengaruh Helmy tidak lagi terhad di Duyong atau Melaka. Beliau mempunyai lebih 1.5 juta pengikut di media sosial dan menjadi antara segelintir ADUN yang dikenali di luar sempadan negerinya. Pada awal 2026, dilaporkan terdapat orang ramai yang menyatakan hasrat untuk menukar alamat ke Duyong kerana tertarik dengan pendekatan khidmat masyarakat yang ditunjukkannya. Ada yang mungkin melihat perkara itu sebagai kesan pemasaran politik. Namun, pemasaran hanya bertahan jika masyarakat dapat menghubungkannya dengan suatu bentuk pekerjaan yang boleh dilihat.

Tidak ramai ADUN mempunyai pengenalan sedemikian. Mohd Adanan Hassan, misalnya, ialah ADUN Kelaboran di Kelantan. Pusat khidmatnya merekodkan lebih seribu aduan diterima dan sebahagian besar daripadanya telah diselesaikan. Ini menunjukkan beliau juga mempunyai kerja dan kedudukan yang tersendiri dalam masyarakat Kelaboran.

Namun, sekiranya ditanyakan kepada orang awam di Kuching atau Sibu siapakah ADUN Kelaboran, mungkin tidak ramai yang dapat menjawabnya. Bukan kerana Mohd Adanan tidak bekerja. Kebanyakan ADUN memang dikenali dalam lingkungan negeri dan kawasan masing-masing. Helmy agak berbeza kerana nama dan pendekatannya telah menembusi perhatian masyarakat di luar Melaka.

Atas sebab itu, tindakan DAPSY Kota Melaka menyerangnya hampir menyerupai suatu bentuk bunuh diri politik. Mereka memilih untuk mempertikaikan soal “buat kerja” terhadap seorang wakil rakyat yang seluruh identiti politiknya dibina melalui gambaran tersebut. Serangan itu bukan sahaja sukar melemahkan Helmy, malah memberikan ruang kepadanya untuk mengulangi semula apa yang telah dilakukan di Duyong.

Lebih rumit, DAP sendiri memimpin Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Walaupun penyelesaian banjir melibatkan pelbagai agensi dan tidak boleh diletakkan kepada satu kementerian semata-mata, masyarakat tetap boleh bertanya apakah sumbangan kerajaan Persekutuan dan kementerian berkaitan. Serangan yang pada awalnya ditujukan kepada Helmy akhirnya berbalik menjadi persoalan terhadap keupayaan DAP sebagai parti kerajaan.

Menunjukkan masalah ialah suatu perkara. Menyelesaikannya ialah perkara yang lain.

Kes ini tidak bermaksud Helmy tidak boleh dikritik. Populariti bukan bukti bahawa segala tindakannya betul. Jumlah pengikut juga tidak boleh menjadi ukuran tunggal kepada keberkesanan seseorang wakil rakyat. Namun, pihak yang mahu mengkritiknya perlu datang dengan fakta, cadangan dan penguasaan isu yang lebih baik. Menyerang kekuatan utama seseorang lawan tanpa bukti yang mencukupi hanya membantu mengukuhkan kekuatan tersebut.

Antonio Gramsci melihat kuasa bukan semata-mata sebagai penguasaan terhadap institusi kerajaan. Kuasa juga bergantung pada kepercayaan dan persetujuan masyarakat. Sesebuah parti boleh mempunyai menteri dan kedudukan yang besar, tetapi masih kehilangan kepimpinan moral apabila tindakannya tidak lagi dilihat konsisten dengan perkara yang pernah diperjuangkannya.

DAP pernah memiliki kekuatan moral itu. Penyokongnya sanggup bertahan lama kerana percaya parti tersebut membawa suatu bentuk politik yang lebih tegas terhadap penyalahgunaan kuasa dan lebih berani mempertahankan institusi. Setelah menjadi kerajaan, kekuatan tersebut tidak boleh dipelihara hanya melalui ingatan terhadap perjuangan lama. Ia perlu diperbaharui melalui tindakan semasa.

HAMKA meletakkan budi bukan sekadar sebagai kesopanan dalam berbicara, tetapi sebagai kebijaksanaan akal dan akhlak dalam membuat pertimbangan. Dalam politik, pertimbangan ini menentukan sama ada sesuatu tindakan benar-benar membawa manfaat atau sekadar memuaskan emosi kelompok. Tidak semua serangan terhadap lawan akan menguatkan parti. Tidak semua kenyataan keras menunjukkan keberanian. Ada waktunya, diam seketika dan memahami medan lebih berguna daripada mengeluarkan satu lagi kenyataan media.

DAP belum gagal sepenuhnya sebagai parti kerajaan. Parti itu mempunyai pemimpin yang bekerja dan kementerian yang menunjukkan hasil. Namun, ukuran terhadapnya telah berubah. Rakyat tidak lagi menilai DAP berdasarkan keberanian menyerang BN, MCA atau PAS. Mereka menilai apa yang dilakukan oleh menterinya, apa yang gagal diperjuangkan dalam kabinet dan sejauh mana prinsip lama masih mempunyai makna.

Masalah DAP bukan kerana parti itu telah menjadi kerajaan. Masalahnya timbul apabila sebahagian daripada pendekatannya masih seperti pembangkang kerana mahu bebas menyerang, tetapi enggan memikul keseluruhan beban sebagai pemerintah. 

DAP sudah lama mempelajari cara mendapatkan kuasa. Sekarang parti itu perlu mempelajari sesuatu yang lebih sukar: bagaimana menggunakan kuasa tanpa kehilangan dirinya sendiri.

Bacaan asas: HAMKA, Lembaga Budi; Max Weber, Politics as a Vocation; Antonio Gramsci, Selections from the Prison Notebooks; Syed Hussein Alatas, Intellectuals in Developing Societies; dan James C. Scott, Seeing Like a State.


Ulasan