DUNIA ADA DUA WISEL
Orang
kata bola sepak menyatukan dunia. Mungkin betul. Setidak-tidaknya selama 90
minit, manusia boleh duduk bersama, menjerit pada bola yang sama dan memaki
pengadil dalam bahasa masing-masing. Tetapi Piala Dunia 2026 menunjukkan satu
perkara lain: dunia mungkin bermain di atas padang yang sama, tetapi tidak
semestinya diadili dengan wisel yang sama.
Lihat sahaja Iran. Pemainnya dibenarkan masuk ke Amerika Syarikat untuk bertanding, tetapi dengan pelbagai sekatan perjalanan. Mereka terpaksa berulang-alik dari Tijuana, Mexico, manakala beberapa pegawai pasukan tidak diberikan visa. Pada awalnya, pasukan Iran hanya dibenarkan memasuki Amerika sehari sebelum perlawanan dan perlu keluar semula selepas tamat permainan. FIFA bercakap tentang kesaksamaan, tetapi kesaksamaan itu nampaknya berhenti di kaunter imigresen.
Kemudian
ada Donald Trump. Selepas penyerang Amerika, Folarin Balogun, menerima kad
merah, Trump menghubungi Presiden FIFA, Gianni Infantino. FIFA kemudiannya
menangguhkan pelaksanaan hukuman Balogun, membolehkan beliau bermain dalam
perlawanan seterusnya. Kita tidak tahu sejauh mana panggilan itu mempengaruhi
keputusan. Tetapi gambarnya cukup lucu: negara lain menghantar surat rayuan,
kuasa besar terus menelefon bos FIFA.
Inilah
masalah sebenar universalisme Barat. Bukan kerana semua orang Barat jahat, dan
bukan juga kerana semua falsafah yang lahir di Barat harus dibuang. Malah,
ramai pengkritik paling keras terhadap imperialisme datang daripada tradisi
pemikiran Barat sendiri. Masalahnya ialah Barat sering mengangkat nilai
tertentu sebagai nilai sejagat; kebebasan, demokrasi, hak asasi dan kedaulatan
undang-undang tetapi pelaksanaannya berubah mengikut siapa pelaku dan siapa
mangsa.
Edward
Said menyebut bagaimana “Timur” dibentuk sebagai watak yang pelik, ganas dan
tidak rasional supaya Barat boleh tampil sebagai pihak yang waras dan
bertamadun. Charles W. Mills pula, melalui The Racial Contract,
mempertikaikan janji bahawa kontrak sosial moden benar-benar merangkumi semua
manusia. Di atas kertas, semua manusia setara. Dalam sejarah, ada manusia yang
merdeka dan ada manusia yang dianggap belum cukup manusia untuk diberikan
kemerdekaan.
Sebab
itu Ukraine cepat mengajar dunia tentang pentingnya kedaulatan. Dan memang
benar, penderitaan rakyat Ukraine tidak boleh diperkecilkan. Pada suku pertama
2026 sahaja, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu merekodkan peningkatan 20 peratus
korban awam berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. Serangan Rusia tetap
salah, walaupun Amerika juga mempunyai sejarah panjang peperangan dan campur
tangan.
Namun,
apabila Palestin menyebut kedaulatan, dunia tiba-tiba meminta kita memahami
“kerumitan sejarah”. Apabila Mahkamah Jenayah Antarabangsa menyiasat musuh
Amerika, mahkamah itu dipuji. Apabila mahkamah yang sama menyentuh Israel atau
kemungkinan tindakan Amerika, pentadbiran Trump mengenakan tekanan dan sekatan
terhadap pegawai ICC. Undang-undang antarabangsa akhirnya kelihatan seperti
payung yang dibuka ketika hujan turun di rumah lawan, tetapi dilipat apabila
rumah sendiri mula bocor.
Iran
juga bukan malaikat. Kerajaannya boleh dan harus dikritik atas penindasan
politik, kawalan maklumat dan layanan terhadap rakyatnya sendiri. Tetapi
keburukan Iran tidak secara automatik menjadikan setiap serangan atau sekatan
Amerika sebagai tindakan yang suci. Begitu juga kekejaman Hamas tidak memberi
lesen untuk menganggap seluruh Gaza sebagai sasaran. Kita tidak perlu memilih
antara menjadi penyokong Putin, Netanyahu, Trump atau pemerintah Iran. Kita
hanya perlu mempunyai prinsip yang tidak berubah mengikut jersi.
Aimé
Césaire pernah menunjukkan bahawa kolonialisme tidak sekadar merosakkan mereka
yang dijajah. Ia turut merosakkan penjajah kerana mengajar manusia bahawa
kekejaman boleh diterima selama mangsanya dianggap lebih rendah. Inilah
penyakit yang masih hidup. Dahulu ia dinamakan misi mentamadunkan manusia. Hari
ini namanya demokrasi, keselamatan dan kestabilan dunia.
Mungkin
dunia tidak kekurangan falsafah. Dunia cuma kekurangan keberanian untuk
melaksanakan falsafahnya kepada semua manusia secara sama rata. Kita mempunyai
piagam, mahkamah, resolusi dan ucapan yang cantik. Tetapi selagi nyawa seorang
manusia dinilai berdasarkan pasport, agama dan hubungan negaranya dengan
Washington, semua itu cuma hiasan.
Padangnya
satu. Peraturannya juga kononnya satu. Tetapi wiselnya masih dua.
Bacaan
asas: Edward
Said, Orientalism; Charles W. Mills, The Racial Contract; Aimé
Césaire, Discourse on Colonialism; Frantz Fanon, The Wretched of the
Earth; Domenico Losurdo, Liberalism: A Counter-History.

.jpg)
Ulasan
Catat Ulasan