BEBAL YANG BERKUASA: SYED HUSSEIN ALATAS & NEGARA YANG TAKUT PADA AKAL

Sesebuah negara tidak semestinya rosak kerana kekurangan orang berpendidikan. Ada negara yang dipenuhi graduan, profesor, pegawai tinggi, pakar dan pemimpin yang petah berucap, tetapi masalahnya tetap berulang. Mesyuarat bertambah, jawatankuasa ditubuhkan dan slogan diperbaharui, namun penyelesaiannya masih tidak bergerak ke mana-mana. Dalam keadaan ini, masalah negara mungkin bukan lagi kekurangan manusia yang memiliki kelulusan. Masalahnya ialah terlalu ramai orang bebal diberikan kuasa. 

Perkataan “bebal” tentu kedengaran kasar. Namun bagi Syed Hussein Alatas, bebalisme bukan sekadar makian terhadap orang yang kurang cerdik. Ia merupakan suatu keadaan pemikiran yang tidak mampu mengenal pasti masalah, menganalisis sebab, mempelajari perkara yang diperlukan dan mengakui kekurangan diri. Orang bebal bukan semestinya tidak bersekolah. Sebahagian daripada mereka mempunyai gelaran yang panjang, pejabat yang besar dan kuasa untuk menentukan kehidupan orang lain. Mereka mungkin pandai menghafal, tetapi tidak tahu berfikir. Lebih buruk, mereka tidak sedar bahawa mereka tidak tahu (Alatas, 1977).

Syed Hussein Alatas merupakan antara pemikir besar yang lahir daripada pengalaman Asia Tenggara. Pemikirannya bergerak dalam persoalan kolonialisme, korupsi, ilmu, kepimpinan dan peranan intelektual dalam masyarakat membangun. Beliau tidak melihat kemunduran sebagai kelemahan semula jadi masyarakat Asia. Sebaliknya, kemunduran perlu difahami melalui sejarah penjajahan, struktur kuasa dan kegagalan golongan elit membentuk tradisi ilmu yang mandiri.

Dalam The Myth of the Lazy Native, Alatas membongkar bagaimana penjajah membina gambaran bahawa orang Melayu, Jawa dan Filipina ialah masyarakat yang malas. Mitos itu tidak lahir daripada kajian yang neutral. Ia berfungsi dalam sistem kapitalisme kolonial. Apabila masyarakat tempatan enggan bekerja dalam keadaan yang ditentukan oleh penjajah, keengganan tersebut dianggap sebagai kemalasan. Kekerasan ekonomi penjajah tidak dipersoalkan. Kesalahan sebaliknya diletakkan pada watak peribumi (Alatas, 1977).

Penjajah akhirnya pergi, tetapi cara berfikir itu belum tentu turut pulang. Apabila dasar gagal, rakyat dikatakan tidak bersedia. Apabila kemiskinan berterusan, orang miskin dituduh tidak berusaha. Apabila reformasi tidak bergerak, rakyat pula dianggap tidak memahami kerumitan pentadbiran. Struktur yang menghasilkan masalah terus dipertahankan, sedangkan mangsanya diminta memperbaiki sikap.

Di sinilah pemikiran Alatas masih mengganggu. Beliau tidak hanya mengkritik penjajah, tetapi turut mengkritik elit tempatan yang mewarisi cara berfikir kolonial. Selepas kemerdekaan, pentadbiran negara memerlukan manusia yang mampu mengenal masyarakatnya, membentuk gagasan sendiri dan berani berhadapan dengan masalah sebenar. Namun, kekosongan tersebut kadang-kadang diisi oleh kelompok yang bergantung pada hafalan, peniruan dan hubungan kekuasaan.

Kelompok bebal jarang bergerak sendirian. Mereka membina lingkungan yang mempertahankan kedudukan masing-masing. Orang yang setia diberi tempat, manakala orang yang banyak bertanya dilihat sebagai gangguan. Kecekapan boleh menjadi ancaman kerana manusia yang cekap akan mendedahkan kelemahan mereka. Maka, kenaikan pangkat tidak lagi ditentukan oleh kemampuan menyelesaikan masalah, tetapi kebolehan menjaga hubungan, membaca arah angin dan tidak memalukan orang atasan.

Alatas mengaitkan penguasaan kelompok bebal dengan nepotisme, pemikiran kolot dan kemunculan korupsi. Dalam sistem yang berasaskan jasa dan kerja keras, orang bebal akan sukar bertahan. Oleh itu, ukuran kejayaan perlu diubah. Hubungan menjadi lebih penting daripada kebolehan. Kesetiaan mengatasi kebenaran. Mereka akhirnya membentuk nilai masyarakat mengikut keterbatasan pemikiran mereka sendiri (Alatas, 1977).

Bebalisme dalam politik Malaysia tidak semestinya hadir melalui keputusan yang kelihatan bodoh. Ia boleh muncul melalui keputusan yang kelihatan sangat teratur. Ada kertas cadangan, pelan tindakan, logo, pakaian rasmi dan majlis pelancaran. Semuanya lengkap, kecuali pemahaman terhadap masalah yang mahu diselesaikan. Apabila projek gagal, nama program ditukar. Apabila dasar tidak berhasil, sebuah kajian baharu diumumkan. Kadang-kadang negara tidak kekurangan rancangan. Negara kekurangan keberanian mengakui bahawa rancangan lama memang tidak menjadi.

Pemimpin bebal juga mempunyai hubungan yang aneh dengan kritikan. Mereka mahu dipuji kerana berani membuat keputusan, tetapi tidak mahu menanggung persoalan terhadap keputusan tersebut. Kritikan dianggap tidak membina, serangan peribadi atau usaha menjatuhkan kerajaan. Akibatnya, orang di sekeliling semakin berhati-hati untuk bercakap benar. Dalam tempoh tertentu, pemimpin hanya mendengar pandangannya sendiri yang dipantulkan kembali melalui mulut orang lain.

Keadaan ini tidak hanya berlaku dalam politik. Universiti yang sepatutnya menjadi tempat membebaskan akal juga boleh menghasilkan bebalisme. Syed Hussein Alatas menggunakan istilah captive mind atau minda tertawan untuk menjelaskan pemikiran yang meniru sumber luar tanpa kemampuan menyesuaikannya dengan persoalan masyarakat sendiri. Masalahnya bukan kerana ilmu Barat perlu ditolak. Alatas sendiri menggunakan tradisi ilmu sejagat secara luas. Masalahnya ialah apabila teori, konsep dan keutamaan penyelidikan diimport tanpa pertimbangan terhadap keadaan tempatan (Alatas, 1974).

Beliau mengingatkan bahawa universiti di negara membangun boleh berubah menjadi “kilang status”. Universiti sibuk mengeluarkan kelulusan dan tenaga profesional, tetapi tidak cukup membentuk fikiran yang kreatif, berani dan mampu menyelesaikan persoalan masyarakat. Nama kursus kelihatan hebat dalam silibus, namun apa yang berlaku dalam bilik kuliah mungkin hanya pemindahan nota. Pelajar belajar menjawab peperiksaan, pensyarah belajar memenuhi petunjuk prestasi dan universiti belajar mengejar kedudukan. Semua orang kelihatan sibuk. Tidak semestinya semua orang sedang berfikir (Alatas, 1974).

Minda tertawan tidak bermaksud seseorang terlalu banyak membaca buku Barat. Seseorang boleh membaca Marx, Weber, Foucault atau Huntington dan masih menghasilkan pemikiran yang baik. Masalah timbul apabila nama besar digunakan untuk menggantikan analisis. Teori diletakkan pada setiap halaman, tetapi masyarakat sendiri tidak benar-benar difahami. Menurut Alatas, ilmu yang mandiri bukan ilmu yang menolak dunia luar. Ia memilih, menyesuaikan dan mengembangkan konsep berdasarkan masalah yang sedang dihadapi. Pendekatannya lebih bersifat penyerapan kritikal daripada penolakan menyeluruh terhadap ilmu moden (Alatas, 1974; Sampean, 2026).

Namun, gagasan bebalisme juga perlu dibaca dengan berhati-hati. Tidak semua kegagalan berpunca daripada kebodohan manusia yang memegang jawatan. Herbert Simon menunjukkan bahawa pembuat keputusan berhadapan dengan maklumat yang terhad, tekanan masa dan kemampuan manusia yang terbatas. Mereka tidak sentiasa mampu memilih keputusan terbaik, lalu memilih sesuatu yang dianggap memadai dalam keadaan tertentu. Konsep ini dikenali sebagai bounded rationality atau rasionaliti terbatas (Simon, 1947/1997).

Michael Lipsky pula menunjukkan bahawa pegawai yang berhadapan secara langsung dengan masyarakat sering membuat keputusan dalam keadaan sumber yang tidak mencukupi, peraturan yang bertindih dan jumlah kes yang terlalu banyak. Kegagalan perkhidmatan awam tidak semestinya membuktikan pegawainya bebal. Ada kalanya sistem itu sendiri memaksa manusia membuat keputusan yang buruk (Lipsky, 1980).

Antitesis ini penting kerana perkataan “bebal” mudah berubah menjadi hukuman moral terhadap individu bawahan, sedangkan struktur yang membentuk tindakan mereka tidak disentuh. Seorang guru mungkin kelihatan tidak kreatif kerana dibebani kerja pentadbiran. Seorang pegawai mungkin terlalu berhati-hati kerana setiap kesilapan akan dihukum, tetapi usaha yang baik tidak dihargai. Seorang ahli akademik mungkin mengejar penerbitan yang tidak bermakna kerana sistem kenaikan pangkat mengukur jumlah, bukan sumbangan kepada ilmu.

Maka, bebalisme tidak boleh difahami hanya sebagai kelemahan peribadi. Ia juga boleh menjadi hasil daripada institusi yang memberikan ganjaran kepada kepatuhan dan menghukum keberanian. Orang yang pada awalnya mempunyai fikiran yang baik akhirnya belajar untuk diam. Lama-kelamaan, diam menjadi budaya. Budaya menjadi peraturan tidak rasmi. Peraturan tersebut kemudian menghasilkan generasi baharu yang tidak pernah mengetahui bahawa keadaan boleh dilakukan dengan cara yang berbeza.

Kita juga perlu berhati-hati agar perjuangan menentang bebalisme tidak melahirkan pemerintahan golongan teknokrat yang merasakan hanya orang berpendidikan tinggi layak menentukan nasib masyarakat. Orang biasa tidak semestinya bebal. Mereka mungkin tidak menggunakan bahasa akademik, tetapi memahami masalah kehidupan melalui pengalaman yang panjang. Sebaliknya, seorang pakar boleh mengetahui banyak perkara dalam bidangnya dan tetap tidak memahami keresahan masyarakat.

Paulo Freire mengingatkan bahawa ilmu tidak seharusnya bergerak hanya dari orang yang dianggap mengetahui kepada kelompok yang dianggap kosong. Pengetahuan perlu dibentuk melalui dialog dan pengalaman bersama (Freire, 1970). Antonio Gramsci pula melihat bahawa intelektual tidak hanya berada di universiti. Setiap kelompok masyarakat boleh melahirkan intelektual organik yang memahami pengalaman dan perjuangan kelompoknya sendiri (Gramsci, 1971).

Justeru, lawan kepada bebalisme bukanlah sekumpulan manusia yang mahu menunjukkan mereka paling pandai. Lawannya ialah budaya ilmu yang memberikan ruang kepada soalan, perbezaan pandangan dan pengakuan terhadap kesalahan. Intelektual yang sebenar bukan manusia yang mempunyai jawapan terhadap semua perkara. Dia mengetahui batas ilmunya dan bersedia belajar daripada orang lain.

Syed Hussein Alatas juga menulis secara mendalam tentang korupsi. Bagi beliau, korupsi bukan hanya perbuatan mengambil wang secara haram. Ia melibatkan pengkhianatan terhadap amanah, penyalahgunaan kepentingan awam dan pembentukan jaringan yang melindungi pelaku. Korupsi dapat bertahan apabila masyarakat mula menerimanya sebagai sesuatu yang biasa, atau apabila orang yang sepatutnya menentangnya turut memperoleh manfaat daripada sistem tersebut (Alatas, 1968; 1990).

Bebalisme dan korupsi akhirnya saling memerlukan. Orang bebal memerlukan hubungan untuk mengekalkan kedudukannya. Orang yang korup pula memerlukan pemimpin yang tidak mampu atau tidak mahu memahami bagaimana penyelewengan berlaku. Dalam keadaan tertentu, pemimpin mungkin bukan tidak tahu. Dia cuma memilih untuk tidak tahu kerana pengetahuan akan memaksanya bertindak.

Di sinilah nilai sebenar pemikiran Syed Hussein Alatas. Beliau mengingatkan bahawa pembangunan negara tidak boleh diukur melalui bangunan, lebuh raya dan angka ekonomi semata-mata. Negara juga perlu membangunkan daya fikir, akhlak dan keberanian intelektual. Tanpa perkara tersebut, kemajuan fizikal boleh bergerak bersama kemunduran pemikiran.

Malaysia tidak kekurangan manusia pintar. Kita mempunyai ramai profesional, penyelidik, penjawat awam dan pemimpin muda yang berkebolehan. Persoalannya ialah sama ada sistem memberikan ruang kepada mereka atau meminta mereka menyesuaikan diri dengan kebebalan yang sudah tersusun.

Orang bebal jarang takut kepada orang yang lebih kaya. Mereka juga tidak terlalu takut kepada manusia yang lebih berkuasa, kerana kuasa masih boleh dirunding. Yang paling mereka takuti ialah manusia yang berfikir, mempunyai akhlak dan tidak memerlukan restu mereka untuk menyatakan kebenaran.

Negara tidak runtuh hanya apabila orang jahat menguasainya. Negara juga boleh rosak apabila orang yang tidak tahu memegang kuasa, orang yang tahu memilih untuk diam dan orang yang berfikir disuruh menunggu giliran.

Bacaan Asas

Alatas, S. H. (1968). The Sociology of Corruption: The Nature, Function, Causes and Prevention of Corruption. Singapore: Donald Moore Press.

Alatas, S. H. (1974). “The Captive Mind and Creative Development.” International Social Science Journal, 26(4), 691–700.

Alatas, S. H. (1977). Intellectuals in Developing Societies. London: Frank Cass.

Alatas, S. H. (1977). The Myth of the Lazy Native: A Study of the Image of the Malays, Filipinos and Javanese from the 16th to the 20th Century and Its Function in the Ideology of Colonial Capitalism. London: Frank Cass.

Alatas, S. H. (1990). Corruption: Its Nature, Causes and Functions. Aldershot: Avebury.

Freire, P. (1970). Pedagogy of the Oppressed. New York: Continuum.

Gramsci, A. (1971). Selections from the Prison Notebooks. New York: International Publishers.

Lipsky, M. (1980). Street-Level Bureaucracy: Dilemmas of the Individual in Public Services. New York: Russell Sage Foundation.

Sampean. (2026). “Syed Hussein Alatas and Decolonising Social Theory: From the Lazy Native to the Captive Mind.” Current Sociology.

Simon, H. A. (1947/1997). Administrative Behavior: A Study of Decision-Making Processes in Administrative Organizations. New York: Free Press.

 

Ulasan